Shaukei Kahar

Pengulas Sukan Founder SK Sports

Malaysia mungkin dilihat telah berjaya memahat peta sukan dunia sebagai negara yang gagah dalam beberapa acara sukan seperti Badminton, Hoki, Acara Terjun, Bola Baling (Lawn Bowls) serta satu dua lagi acara lain. Bagaimana pun dalam acara Bola Sepak impian untuk Malaysia beraksi di Piala Dunia masih kekal diulit mimpi.

Kemantapan pasukan bola sepak kebangsaan diera 70an dan 80an masih lagi dijadikan ukuran perbandingan dikalangan peminat-peminat bola sepak negara berbanding pasukan kebangsaan alaf baru.

Pasukan negara boleh lah dilabel jaguh pada saingan peringkat Rantau Asia Tenggara, namun untuk melepasi cabaran peringkat Asia apatah lagi di kejohanan-kejohanan utama seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik, pasukan kita kerap terkeluar dari saingan diperingkat kelayakan lagi.

Sebagai sukan yang paling digemari oleh peminat sukan dinegara kita malah sukan paling popular didunia, kerajaan kita telah berusaha keras untuk mengangkat maruah sukan bola sepak melalui pelbagai langkah khususnya menekankan aspek dari akar umbi semula. Keseriusan kerajaan dapat dirasakan melalui Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Fasa Pertama bermula 2014-2020.

Mungkin banyak persoalan yang boleh dilontarkan mengenai keberkesanan dan kejayaan PPBN hingga saat ini, namun pada hemat saya kita tidak boleh menginginkan kejayaan mahu dituai dalam tempoh pelaksanaan program PPBN, usaha dari pelbagai pihak untuk terus membangun dan mendewasakan sukan ini perlu diteruskan tampa jemu.

Program FOOTBALL – SMART – INTELLIGENT (FSI) yang digerakkan ini merupakan suatu langkah terpuji ke arah membantu meningkatkan aspek -aspek pembangunan seseorang pemain serta sukan bola sepak secara keseluruhan di Malaysia.

Kita mungkin mampu mengumpul sejumlah bakat-bakat muda dinegara ini, tetapi apakah kita juga mampu menyediakan pelan jangkapanjang bagi setiap pemain dalam meletakkan karier sukan bolasepak sebagai sesuatu yang dapat menjamin masa depan mereka?

Justeru program FSI ini dilihat berupaya mengukir sebuah lakaran baru dalam konteks pembangunan sukan bolasepak yang perlu digilap serta terus diangkat sebagai agenda kita bersama.